Wednesday, December 12, 2007

Prasangka Pelantikan Presiden Mahkamah Rayuan

Isu pelantikan hakim tidak pernah lekang dengan kontroversi. Kali ini pelantikan Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Presiden Mahkamah Rayuan yang baru telah menimbulkan pelbagai prasangka prasangka dan imej negatif untuk badan kehakiman negara.

Menurut Setiausaha Sekretariat Gerakan Anti Salah Maklumat (Gasak), Hasmi Hashim pelantikan tersebut jelas mencetuskan kontroversi terkini dalam badan kehakiman negara.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita sekali lagi kecewa dengan isu serta kontroversi yang melibatkan badan kehakiman negara atas pelantikan Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Presiden Mahkamah Rayuan yang baru.

Badan kehakiman dan sistem keadilan umumnya di negara ini yang dilihat sangat pincang, lebih-lebih lagi dengan rentetan isu pita Linggam, maka amat wajar dipulihkan dengan pemilihan mana-mana individu hakim yang tidak terkait oleh pengaruh dan tekanan politik," jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Hasmi mendakwa, Tan Sri Zaki seperti yang diketahui pernah memegang jawatan yang berkepentingan langsung dengan parti politik.

"Beliau pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin (Teknikal) Umno tidak lama dahulu. Atas kedudukan yang begitu rapat dengan sebuah parti politik yang memerintah, maka sebarang keputusan atau kehakiman beliau selepas ini tentunya dikhuatiri ada pengaruh politik, dikongkong rasa takut dan kesangsian yang munasabah, atau 'fear and favour',"tegasnya.

Selain itu katanya, pada bulan September lalu, Tan Sri Zaki [foto sebelah] dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan kurang tiga bulan sejurus itu, beliau segera dinaikkan pangkat ke jawatan sekarang.

"Adalah tidak munasabah mengikut amalan biasa kenaikan pangkat seseorang hakim dari satu jawatan ke satu jawatan lainnya hanya dalam tempoh masa kurang tiga bulan. Oleh itu kredibiliti, integeriti dan kemampuan beliau sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan jelas belum teruji dan boleh dipertikai banyak pihak,"ulas Hasmi lagi.

Tegasnya, pelantikan Tan Sri Zaki cukup untuk menimbulkan prasangka dan imej negatif lebih-lebih lagi di dalam suasana badan kehakiman dan sistem keadilan negara yang dilihat parah sejak lebih 10 tahun lalu. -- Harakahdaily.net

Anwar Sokong Boikot Media

KUALA LUMPUR: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bersetuju agar masyarakat umum tidak membeli akhbar-akhbar arus perdana dan dengan cara itu menurutnya, masyarakat akan lebih waras berfikir.

Menjawab satu soalan di dalam blognya bertarikh 8 Disember, Anwar berkata beliau sendiri sudah lama tidak membeli dan membaca surat-surat khabar perdana.

“Saya setuju dengan saranan tidak membeli akhbar-akbar tersebut,” tulisnya.

Pada 29 November lalu, sebuah gabungan boikot media yang dikenali sebagai Gerakan Anti Salah Maklumat (GASAK) ditubuhkan bagi menggerakan kembali kempen boikot media perdana. Berbeza dengan kempen pada sekitar 1999 dahulu, kempen kali ini bermula dan tertumpu kepada Kumpulan Utusan dan New Straits Times Press (NSTP).

GASAK dipengerusikan oleh Pengarah Eksklutif Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar sementara mantan calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hasmi Hashim bertindak sebagai Setiausaha Sekretariat GASAK.

“Saya dah lama tidak membaca berita picisan termasuk media Umno-BN. Lebih waras berfikir,” tulis Anwar lagi.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga menggesa agar tindakan tidak membeli media perdana harus digantikan dengan mengaktifkan beberapa media dan kaedah alternatif lain termasuklah penggunaan blog, email, penyebaran risalah dan ceramah-ceramah kelompok.

Penubuhan GASAK juga dikira tepat pada waktunya dan akan memberi kesan besar kepada media perdana yang laporannya banyak dipertikaikan dalam beberapa hal, termasuklah yang melibatkan demontrasi Bersih dan Hindraf. -- KLpos.com

Saturday, December 8, 2007

Bakar Utusan dan NST

KUALA LUMPUR: Sikap tidak puas hati masyarakat terhadap media perdana di negara ini ternyata semakin kuat, terutama selepas dua demonstrasi besar di ibu negara bulan lalu. Setiausaha Sekretariat Gerakan Anti-Salah Maklumat (GASAK), Hasmi Hashim, 31, [foto bawah] memberitahu sejak badan gabungan itu dilancarkan hujung minggu lalu, pihaknya segera menerima sokongan luar biasa dalam usaha memboikot beberapa media perdana.

“Pelbagai pandangan disampaikan kepada kami, termasuk cadangan mengadakan satu acara simbolik melonggok dan perun semua penerbitan Kumpulan Utusan dan NSTP, terutamanya membakar akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan NST,” katanya ketika ditemui KLpos.com di pejabat sekretariat GASAK di Bangsar Baru dekat sini semalam.

Menurutnya, cadangan seumpama itu dipandang serius pihaknya sebagai antara acara protes yang boleh dilaksanakan.

Mengulas mengenai kemungkinan rasa tidak puas hati yang melebar, jelas Hasmi, “Contoh mudah… berpuluh ribu daripada seluruh negara menyaksikan demonstrasi Bersih dan Hindraf, tetapi dilaporkan oleh Utusan, Berita Harian dan NST hanya empat ribu.”

Tegas Hasmi lagi, putar belit berita dan percubaan memaksa masyarakat menelan sampah propaganda sedemikian sama sepertimana yang berlaku pada era Reformasi 1998.

Pada 2002, beberapa pemimpin dan aktivis Reformasi yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan tuduhan oleh ketua Polis Negara waktu itu, Tan Sri Rahim Noor kononnya pemimpin dan aktivis tersebut antara lain mempunyai pelancar roket dan bom botol bagi menjatuhkan kerajaan secara militan.

“Dahulu mereka berbohong… dan seolah-olah berjaya, kali ini mereka mahu berbohong lagi dengan menuliskan berita seolah-olah daripada dalam mimpi dan khayalan,” tegas Hasmi.

Ketika ditanya sama ada acara melonggok dan membakar surat khabar akan dilakukan dihadapan pejabat Kumpulan Utusan dan NSTP, Hasmi berkata hal itu diputuskan kelak.

GASAK dilancarkan Khamis lalu oleh sebuah jawatakuasa penaja yang bermesyuarat pada pagi Khamis, 29 November. Sejurus itu, satu sidang media diadakan bagi antara lain mengumumkan kempen “boikot media pembohong” oleh pengerusi jawatankuasa penaja GASAK, Khalid Jaafar.

Jumpa editor media lain

Selain itu, Hasmi juga menjelaskan bahawa deligasi sekretariat GASAK mulai minggu depan akan memulakan siri pertemuan dan perbincangan dengan ketua-ketua pengarang dan editor agensi-agensi media yang tidak disenarai-hitamkan. Usaha berkenaan adalah bagi mendapatkan pandangan menyeluruh terhadap realiti dunia kewartawan dengan lebih dekat.

“Selain mendapat maklumat langsung, GASAK juga mempunyai beberapa cadangan agar pihak media yang tidak diboikot ini cukup bersedia menjadi alternatif dan pengganti kepada Utusan dan NST,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, GASAK juga sedang giat mengadakan pertemuan dengan NGO, para penulis dan blogger untuk melebarkan sokongan. Seperti yang dilaporkan, pada peringkat akhir sebelum kempen besar-besaran dilancarkan, badan gabungan itu juga bercadang mendapat sokongan daripada parti-parti politik.

Antara lain, GASAK juga mahu bertemu dengan Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selain ketua pembangkang di Parlimen, Lim Kit Siang dan Ahli Perlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

“Ya… ya, kami akan ke Parlimen untuk menemui kedua YB itu,” tambah Hasmi.

Selain reaksi positif masyarakat umum, GASAK juga mula mendapat sokongan daripada pemimpin akar umbi parti politik pembangkang seperti Keadilan dan Pas.

“Kami terharu dan berterima kasih apabila ada pemimpin mengeluarkan kenyataan terbuka menyokong GASAK seperti oleh Keadilan Perlis, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Pas Negeri Sembilan,” katanya lagi.

Ada strategi rahsia

Hasmi yakin usaha “memboikot media pembohong” akan mencapai kejayaan dan pihak GASAK katanya mempunyai strategi tersendiri bagi mencapai objektif penubuhan.

“Kami belajar daripada pengalaman boikot media pada era Reformasi 1998-99 dahulu, dan kali ini kami lebih bersedia dengan menyusun strategi tersendiri,” tambah Hasmi.

Namun, beliau bagaimana pun merahsiakan dan enggan mendedahkan secara terperinci strategi dan matlamat besar yang mahu dicapai oleh GASAK.

“Setakat ini, apa yang boleh saya katakan cuma kami juga mahu memujuk para penulis kreatif tidak lagi menyumbang karya-karya seperti cerpen kepada mana-mana penerbitan Utusan dan NSTP.

Jangan galak nak jadi ‘sasterawan Utusan’ disaat emak-bapa kita di kampung-kampung ditipu dan diperbodohkan,” ujarnya.

Beliau percaya, penulis kreatif adalah golongan yang lazimnya berpegang kuat kepada idealisme dan ini memudahkan kefahaman agar mereka tidak menyumbang karya kepada media yang menjadi sasaran boikot.

“Saya juga percaya ramai di kalangan wartawan Utusan dan NSTP juga tidak senang leher mereka dicerut kuasa politik elit… barangkali ketua-ketua mereka sahaja yang rela ‘menyerah tengkuk’ demi menjaga kedudukan masing-masing,” tegas Hasmi.

Monday, December 3, 2007

GASAK mula gasak Utusan dan NSTP

AKHBAR kumpulan Utusan Melayu dan New Stairts Times Press Berhad (NSTP) akan mengadapi cabaran baru berikutan kehadiran gabungan Gerakan Anti Salah Maklumat (GASAK) yang akan mengetuai kempen ke akar umbi untuk memboikot kedua-dua akhbar terbabit.

GASAK yang melibatkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), individu penulis dan blogger mengadakan sidang media sebagai penubuhan gabungan badan itu pada Khamis, 29 November lalu, yang sekaligus menjelaskan mengenai kempen boikot tersebut.

Menurut Pengerusi GASAK, Khalid Jaafar, kempen tersebut mensasarkan semua produk percetakan dua kumpulan terbabit kerana kedua-duanya dibayangi oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Kempen ini dilancarkan selepas mendapati kedua-dua kumpulan akhbar tersebut secara sengaja terlibat menyebarkan maklumat yang salah, atau berat sebelah, terutamanya melibatkan isu-isu politik," katanya.

3 tuntutan minima


Menurut beliau, GASAK akan mengemukakan tiga tuntutan minima kepada media yang terbabit kerana memberikan laporan yang seimbang, dengan mengetepikan pandangan dan melaporkan daripada dua dimensi iaitu pimpinan kerajaan serta pihak yang menganjurkan sesuatu perhimpunan atau apa-apa acara.

"Industri media hendaklah bebas dalam editorial dan tidak bersandarkan kepada tekanan daripada pemerintah atau pemilik syarikat tersebut. Ia tidak seharusnya dipengaruhi oleh sesiapa yang boleh memutuskan mengenai berita atau maklumat itu melainkan Jabatan Pengarang media itu sendiri," ujarnya dalam sidang media pelancaran kempen "Boikot Media Pembohong" dalam sidang media yang sama.

Sambung kempen 1999

Jelasnya, penubuhan Gasak adalah sebagai kesinambungan kempen Boikot Media ketika era reformasi pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999.
"Kemudian, momentum itu mulai hilang disebabkan oleh keterbatasan pada masa itu, di samping ia tidak melibatkan jaringan NGO dan parti politik yang lebih pelbagai dan kami rasakan ia perlu digembeling kembali," katanya lagi kepada soalan wartawan.

Beliau berhujah, antara objektif utama penubuhan GASAK adalah kerana keprihatinan terhadap laporan pihak media dalam perhimpunan BERSIH dan Hindraf yang lalu.

Sementara itu, Khalid menafikan bahawa penubuhan GASAKadalah bersifat sementara memandangkan senario politik tanah air kini yang mendekati pilihan raya umum. Apa yang penting katanya, keperluan rakyat untuk mengetahui mengenai kebenaran yang terjadi dalam sesuatu peristiwa itu dapat disampaikan secara sahih dan memenuhi etika kewartawanan.

"Malangnya, apa yang mengecewakan kita adalah apabila media kerajaan memainkan peranan untuk mengawal institusi media lain di negara kita, seterusnya mengaburkan pandangan rakyat dengan maklumat palsu dan penuh dengan penipuan," dakwanya.

BERSIH, Hindraf sebagai contoh

GASAK menjadikan peristiwa dua perhimpunan bersejarah yang terjadi dalam bulan ini, anjuran Bersih dan Hindraf sebagai contoh bagi membuktikan kesalahan media tersebut iaitu fakta dari segi angka kehadiran, laporan yang berat sebelah yang secara tidak langsung menggambarkan sikap mereka yang tidak bertanggungjawab serta melanggar prinsip kebebasan media dan kewartawanan.

"Kami akan melancarkan kempen kesedaran kepada mereka yang membaca, melanggan dan membeli akhbar kumpulan Utusan dan NSTP sebagai langkah awal berdasarkan pengalaman tindakan yang sama pada 1998 lalu yang memberi kesan yang buruk kepada media tersebut," kata Setiausaha Sekreteriat GASAK, Hasmi Hashim.

Di samping itu katanya lagi, GASAK akan menggerakkan kempen ke seluruh negara bagi menggembeling kemarahan NGO, parti politik, portal berita dan para blogger untuk mendapatkan kosensus mereka bagi menyertai gerakan ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah ahli jawatankuasa protem GASAK, Dr Xavier Jayakumar dan wakil Middle Eastern Graduate Centre (MegC), Al-Mustaqeem Mahmud Rodhi dan Naib Ketua Angakatan Muda Keadilan (AMK), Amiruddin Shaari.

Sebaik sahaja jawatankuasa tetap dapat dibentuk, GASAK akan segera menemui Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapat sokongan menjayakan kempen tersebut tidak lama lagi.