Wednesday, December 12, 2007

Prasangka Pelantikan Presiden Mahkamah Rayuan

Isu pelantikan hakim tidak pernah lekang dengan kontroversi. Kali ini pelantikan Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Presiden Mahkamah Rayuan yang baru telah menimbulkan pelbagai prasangka prasangka dan imej negatif untuk badan kehakiman negara.

Menurut Setiausaha Sekretariat Gerakan Anti Salah Maklumat (Gasak), Hasmi Hashim pelantikan tersebut jelas mencetuskan kontroversi terkini dalam badan kehakiman negara.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita sekali lagi kecewa dengan isu serta kontroversi yang melibatkan badan kehakiman negara atas pelantikan Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Presiden Mahkamah Rayuan yang baru.

Badan kehakiman dan sistem keadilan umumnya di negara ini yang dilihat sangat pincang, lebih-lebih lagi dengan rentetan isu pita Linggam, maka amat wajar dipulihkan dengan pemilihan mana-mana individu hakim yang tidak terkait oleh pengaruh dan tekanan politik," jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Hasmi mendakwa, Tan Sri Zaki seperti yang diketahui pernah memegang jawatan yang berkepentingan langsung dengan parti politik.

"Beliau pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin (Teknikal) Umno tidak lama dahulu. Atas kedudukan yang begitu rapat dengan sebuah parti politik yang memerintah, maka sebarang keputusan atau kehakiman beliau selepas ini tentunya dikhuatiri ada pengaruh politik, dikongkong rasa takut dan kesangsian yang munasabah, atau 'fear and favour',"tegasnya.

Selain itu katanya, pada bulan September lalu, Tan Sri Zaki [foto sebelah] dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan kurang tiga bulan sejurus itu, beliau segera dinaikkan pangkat ke jawatan sekarang.

"Adalah tidak munasabah mengikut amalan biasa kenaikan pangkat seseorang hakim dari satu jawatan ke satu jawatan lainnya hanya dalam tempoh masa kurang tiga bulan. Oleh itu kredibiliti, integeriti dan kemampuan beliau sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan jelas belum teruji dan boleh dipertikai banyak pihak,"ulas Hasmi lagi.

Tegasnya, pelantikan Tan Sri Zaki cukup untuk menimbulkan prasangka dan imej negatif lebih-lebih lagi di dalam suasana badan kehakiman dan sistem keadilan negara yang dilihat parah sejak lebih 10 tahun lalu. -- Harakahdaily.net

No comments: